Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) telah mengumumkan bahawa fasa peralihan monsun dijangka bermula esok, 24 September 2024 dan berlangsung sehingga awal November ini.
Oleh yang demikian, orang ramai dinasihati agar berwaspada dengan perubahan cuaca dan sentiasa peka dengan perkembangan terkini mengenai ramalan cuaca dan amaran yang dikeluarkan oleh jabatan berkenaan menerusi laman internet rasmi dan juga saluran media sosial rasmi, serta boleh memuat turun aplikasi myCuaca atau pun hubungi 1-300-22-1638 untuk sebarang informasi berkaitan.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata wilayah barat dan pedalaman Semenanjung Malaysia, serta barat Sabah dan Sarawak tengah boleh mengalami angin dari pelbagai arah, yang boleh membawa kepada ribut petir.
Menjelang perubahan corak cuaca, insiden tanah runtuh telah berlaku di Brinchang di Cameron Highlands kelmarin yang mengakibatkan sebuah kenderaan mengalami kerosakan akibat tiang tumbang, lapor The Star.
Malahan dalam tempoh seminggu ini, negeri di utara tanahair iaitu Kedah, Perlis dan Pulau Pinang juga mengalami ribut petir dan hujan lebat yang mengakibatkan beberapa daerah dilanda banjir kilat. Fenomena air pasang besar serentak dengan hujan lebat turut memburukkan lagi keadaan di beberapa daerah termasuk di Kuala Perlis dan Butterworth.
Justeru, bagi pemilik kenderaan, jangan lupa untuk mendapatkan insurans kerosakan akibat banjir atau bencana alam (particular perils) untuk kenderaan anda. Dengan adanya insurans bencana alam ini, jika kenderaan kita rosak akibat banjir atau bencana alam lain (termasuk pokok tumbang dan sebagainya), tidaklah kita begitu ‘sengsara’ menanggung kos baikpulih kenderaan kita. Ini kerana, tanpa perlindungan insurans sebegini, kos baikpulih kenderaan yang rosak akibat bencana alam adalah besar dan memang membebankan.
Beberapa tahun lalu, kami telah kumpulkan bayaran insurans bencana alam ini, daripada beberapa penyedia insurans utama Malaysia, termasuk AIA, AIG, Allianz, AXA, Etiqa, Kurnia, MPI Generali, MSIG, RHB, Takaful dan Tokio Marine. Kadarnya adalah antara 0.15% hingga 0.5% daripada jumlah keseluruhan perlindungan kenderaan anda. Mungkin tahun ini ada perubahan yang dilakukan oleh syarikat insurans, sila rujuk mereka untuk mendapatkan sebut harga yang sahih.
Apa pun, sekiranya berlaku hujan lebat dan anda parkir kenderaan di kawasan yang berisiko banjir, sila alihkan kenderaan anda ke tempat yang lebih selamat. Atau sekiranya anda tidak pasti adakah lokasi terbabit selamat mahu pun tidak, sila bertambah peka dan jenguk selalu keadaan sekeliling. Jika air banjir sudah mula memasuki kawasan terbabit, bertindaklah dengan segera.
Sekiranya anda sedang memandu dan laluan terbabit dinaiki air, jangan nak principal redah saja. Kita tidak tahu bahaya apa yang menanti di hadapan. Pastikan laluan terbabit selamat untuk dilalui, atau gunakan jalan alternatif jika masih berkesempatan. Jangan mengambil risiko meredah laluan tersebut, bimbang kenderaan anda terperangkap di tengah-tengah banjir dan kemungkinan besar tidak dapat bergerak langsung. Bukan setakat kenderaan anda mungkin mengalami kerosakan, bahkan keselamatan anda dan penumpang juga berada dalam bahaya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.